Page 5 - lt2016
P. 5
Bismillahirrahmannirrahim,
Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani Segala
Puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam. Selawat dan salam yang sempurna
dipanjatkan ke atas Nabi Muhammad S.A.W ke atas ahli keluarga baginda
dan sahabat-sahabatnya.
Syukur ke atas hadrat-Nya, kita masih diberikan hidayah dan peluang
untuk terus berkhidmat dalam menjunjung amanah serta tanggungjawab
khususnya dalam usaha menyiapkan Laporan Tahunan 2016 ini.
Sungguhpun kita sedang Berdepan dengan cabaran yang getir dalam
iklim ekonomi negara semasa, namun KPF masih tetap teguh dalam
meneraju gerakan koperasi negara. Buktinya, pencapaian demi
pencapaian yang diperoleh jelas menunjukkan komitmen dan iltizam
dalam menjayakan visi dan misi KPF.
Antara strategi utama KPF bagi meneruskan sinergi kecemerlangan
adalah dengan menggariskan tiga bidang keberhasilan utama di dalam
Pelan Perniagaan. Pertama, bidang perladangan dan hasil pertanian. KPF
masih percaya ladang kelapa sawit dan getah serta industri sokongan
yang berkaitan akan terus menjamin kepada pulangan pendapatan yang
lumayan untuk jangka masa yang panjang dan mampan. Lagi pula,
tanaman kelapa sawit sangat sinonim dan signifikan untuk anggota KPF
terutamanya warga FELDA.
Kedua, KPF telah mula berjinak-jinak dengan bidang perkhidmatan
kesihatan, perhotelan, pengangkutan dan konsumer. Dengan pemilikan
rangkaian klinik atau hospital, hotel dan pengangkutan di masa akan
datang berupaya membantu dalam menjana punca pendapatan baru buat
KPF, selain terus bergantung kepada bidang perladangan dan pelaburan
semata-mata.
Ketiga, KPF juga bercita-cita untuk menceburi bidang perbankan
dan takaful. Sebagai sebuah koperasi yang unggul, adalah menjadi
satu impian untuk KPF berubah menjadi sebuah institusi perbankan.
Pengiktirafan Francais Harapan 2015 menjanjikan kecemerlangan buat
rangkaian Ar Rahn yang dijangka akan dibuka di seluruh pelusuk negara.
Kunci kejayaan KPF adalah terletak di dalam kepercayaan dan sokongan
Lembaga, Pengurusan, petugas dan anggota terutamanya. Oleh itu,
amatlah diharapkan agar semua pihak akan terus mengembeleng tenaga
dan tekad dalam meneruskan legasi kecemerlangan KPF selaku institusi
koperasi konglomerat yang patuh syariah sesuai dengan visinya.
Pada kesempatan ini saya merakamkan ucapan, ribuan terima kasih dan
setinggi penghargaan buat semua pihak di atas sokongan dan kerjasama
yang diberikan sejak penubuhan KPF sehingga kini. Jasa dan usaha yang
tidak pernah lekang pasti akan membawa lonjakan kecemerlangan di
masa akan datang. Sekian, terima kasih.
Salam Hormat,
PUAN SAKINAH SALLEH
Ketua Pegawai Eksekutif
Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad
Laporan Tahunan KPF 2016 5